Sorting by

×

DISKAUN SEHINGGA 80 PERATUS MENANTI PENGUNJUNG ‘HEBAT’ SIRI 1/2026 ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Diskaun sehingga 80 peratus membabitkan kompaun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka, selain pelbagai diskaun pinjaman pendidikan dan saman polis trafik boleh dimanfaatkan orang ramai di Kompleks Seri Negeri, esok.

Ia bersempena penganjuran Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (EXCO) Bersama Rakyat (HEBAT) Siri 1/2026 yang diadakan bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, selain menjadi platform menyalurkan aduan atau pandangan, program itu juga menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat, termasuk kaunter pameran dan kaunter bergerak.

Jelas beliau, sebanyak tujuh kaunter pameran dan sembilan kaunter bergerak dibuka membabitkan pelbagai agensi dan jabatan, selain institusi perbankan dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Antaranya kita ada pameran daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad; Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Hospital Putra; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Tabung Pendidikan Melaka (TAPEM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Manakala kaunter bergerak pula membabitkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Jasin (MPJ); Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG); Zakat Melaka; Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Telekom Malaysia; Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah serta Bahagian Promosi Pelancongan,” katanya.

623211719 1415984353873585 85474507522108444 n
POSTER hebahan HEBAT Siri 1/2026.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung pada program Kokenut Shake Dulu Special bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka bagi mempromosikan HEBAT Siri 1/2026 di konti MelakaFM.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, HEBAT merupakan antara program berkonsep santunan rakyat yang digagaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi memudah cara penyelesaian segala aduan rakyat di seluruh pelusuk negeri.

Jelas beliau, berbeza dengan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang menyaksikan Kerajaan Negeri datang kepada rakyat, HEBAT pula membuka peluang untuk rakyat datang ke pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, di mana ia secara tidak langsung menjadi satu lagi platform mendekatkan rakyat dengan kerajaan.

“Jadi, kita menjemput semua rakyat memanfaatkan program ini yang akan diadakan setiap 45 hari bermula tahun ini supaya mereka dapat menyalurkan aduan, mengemukakan pandangan ataupun memohon bantuan secara terus kepada Kerajaan Negeri bersama jabatan dan agensi daripada 11 portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

780
Kongsi :
Previous post MPAG DIGITAL, LAMBANG TRANSFORMASI ALOR GAJAH
Next post DUA SIRI ‘HEBAT’, 92.7 PERATUS ADUAN DISELESAIKAN