Sorting by

×

KADAR ZAKAT FITRAH MELAKA DIJANGKA MENINGKAT RM1 UNTUK M40, T20

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 5 Februari – Kadar zakat fitrah Melaka pada Ramadan tahun ini dijangka meningkat selaras dengan keadaan ekonomi semasa, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kenaikan berjumlah RM1 itu dijangka hanya akan melibatkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.

Menurut beliau, bagi golongan berpendapatan rendah pula ia dijangka kekal tanpa sebarang perubahan, bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Penetapan kadar zakat fitrah ini akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos sara hidup, harga beras semasa serta kemampuan rakyat dan ditentukan secara berperingkat mengikut kategori pendapatan.

“Bagaimanapun kadar rasmi terbaharu zakat fitrah Melaka dijangka akan diumumkan Jabatan Mufti Negeri Melaka sebelum bermulanya Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Negeri Melaka 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Bukit Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Azhan Md Samad serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rahmad memaklumkan kenaikan secara bersasar itu bertujuan memastikan keadilan sosial dapat dilaksanakan, selain memastikan golongan asnaf terus menerima manfaat sewajarnya sepanjang bulan Ramadan.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara telus dan berkesan sejajar dengan prinsip keadilan dan kebajikan umat Islam di negeri ini,” katanya.

Tahun lalu, Melaka menetapkan zakat fitrah pada tiga kadar iaitu RM7, RM15 dan RM22.

Ia membabitkan RM7 seorang bagi pengguna beras super special tempatan, RM15 seorang bagi pengguna beras super special import dan RM22 bagi pengguna beras basmathi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Kongsi :
Previous post BANTUAN RAMADAN, SYAWAL RINGANKAN BEBAN 520 ASNAF DUN KESIDANG