Sorting by

×

TARIK LESEN JIKA PENGANJUR, PENIAGA BAZAR AMAL KONSEP ‘ALIBABA’

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 6 Februari – Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini tidak akan teragak-agak untuk menarik balik lesen sekiranya penganjur atau peniaga Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri didapati melanggar syarat ditetapkan, termasuk menyewakan tapak perniagaan kepada pihak ketiga.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, tindakan tegas itu akan diambil sekiranya pelanggaran berkenaan dikesan hasil pemantauan yang dijalankan oleh PBT dengan kerjasama penganjur bazar.

Menurut beliau, terdapat kes di mana satu pihak meletakkan dua atau tiga nama peniaga sedangkan ia sebenarnya dimiliki oleh satu syarikat atau seorang pemilik, selain situasi peniaga yang telah memperoleh tapak namun tidak berniaga dan menyerahkannya kepada pihak lain.

“Perkara seperti ini akan kita pantau supaya tidak menjadi isu besar. Kita akan minta penganjur supaya menarik balik lesen, memberi peringatan serta menasihatkan pihak yang terlibat.

“Sekiranya ada peniaga yang mengamalkan konsep ‘Alibaba’, maksudnya dia sudah dapat tapak tetapi disewakan kepada pihak lain, itu juga akan kita awasi.

“Kita tidak mahu isu-isu kecil ini diviralkan sehingga boleh menjejaskan imej Kerajaan Negeri dan juga pihak PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Negeri Melaka Tahun 2026 di Dewan Taming Sari, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Tambah beliau, sekiranya isu berkenaan berterusan, Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan untuk menukar penganjur kepada pihak lain yang lebih berminat, cekap dan bertanggungjawab dalam menguruskan bazar.

“Kalau (jika) apa yang berlaku nanti, kita boleh tukar penganjur-penganjur yang lain yang lebih efisien dan benar-benar berminat, termasuk dalam menangani masalah yang timbul,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama antara penganjur, peniaga dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan kelancaran operasi bazar sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri, selain mengelakkan sebarang isu yang boleh menjejaskan kepentingan awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

677
Kongsi :
Previous post GTP: MELAKA MENUJU HAB INDUSTRI STRATEGIK ANTARA JOHOR – KUALA LUMPUR