Sorting by

×

CABUTAN BERTUAH MELAKA RIVER CRUISE DITERUSKAN TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 8 Februari – Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Cabutan Bertuah Melaka River Cruise pada tahun ini dalam usaha berterusan menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2.0.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi edisi tahun ini, hadiah keseluruhan yang ditawarkan kepada pengunjung bertuah adalah bernilai RM100,000, di mana hadiah utamanya adalah sebuah kereta Perodua Bezza.

“Untuk terus menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2.0 saya mengumumkan bahawa Program Cabutan Bertuah Melaka River Cruise diteruskan pada tahun 2026.

“Program ini akan dilaksanakan setiap tiga bulan dan hadiah utama akan disampaikan pada Disember depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2026 dan Majlis Penyampaian Hadiah Utama Cabutan Bertuah Cruise Madani Melaka River Cruise 2025 di Perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong serta Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen.

Turut bersama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited menjadikan Melaka Bila Larut Malam sebagai acara pelancongan bulanan beridentiti, inklusif dan dekat di hati rakyat.

“Program ini bukan sekadar menghidupkan malam tetapi menyatukan budaya, warisan dan jiwa rakyat Melaka.

“Malah menjelang Ramadan, Melaka juga akan terus aktif dengan program berteraskan kerohanian dan kemasyarakatan apabila lebih 90 program dianjurkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya.

Terdahulu pada program itu, Ketua Menteri turut menyampaikan hadiah utama Cabutan Bertuah Melaka River Cruise 2025 iaitu sebuah kereta Proton Saga MC3 kepada Amir Hamzah Ahmad Jais, 24, dari Perak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post MELAKA NEGERI PERTAMA MILIKI SISTEM ‘PANIC BUTTON’
Next post MELAKA BILA LARUT MALAM JADI NADI EKONOMI RAKYAT