Sorting by

×

REZEKI NAIK MELAKA RIVER CRUISE, PELAJAR DARI PERAK MENANG PROTON SAGA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 8 Februari – Rezeki tak salah alamat. Itu gambaran tuah menyebelahi pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) apabila percutian bersama keluarga di Melaka pada Disember lalu membawa rezeki tidak disangka-disangka.

Ia selepas anak muda itu diumum sebagai pemenang utama Cabutan Bertuah Cruise Madani Melaka River Cruise 2025 yang membawa pulang hadiah utama sebuah kereta Proton Saga MC3.

Amir Hamzah Ahmad Jais, 24, yang berasal dari Perak tidak menyangka percutiannya ke Melaka bersama keluarga dan memilih untuk menikmati pelayaran Melaka River Cruise menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

“Agak ragu-ragu ketika dimaklumkan yang saya menjadi pemenang utama untuk cabutan bertuah ini kerana tidak terlalu berharap kerana ramai lagi yang turut serta.

“Namun begitu saya gembira dan bersyukur kerana dalam ramai-ramai saya yang terpilih, selain kereta ini menjadi rezeki untuk saya, Alhamdulillah,” katanya.

Dia ditemui selepas sesi penyampaian hadiah utama Cabutan Bertuah Cruise Madani Melaka River Cruise 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada program Melaka Bila Larut Malam edisi Februari, di perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong serta Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Menurut pelajar tahun akhir UTHM itu, inisiatif Kerajaan Negeri menerusi PPSPM yang mengadakan program cabutan bertuah merupakan usaha yang amat baik dalam menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Melaka ini antara negeri yang kerap saya kunjungi kerana ia banyak lokasi menarik dan tidak membuatkan pengunjung atau pelancong jemu.

“Seperti menaiki Melaka River Cruise, ia memberi pengalaman menarik terutamanya pada waktu malam dan ini akan membuatkan rasa ingin naik lagi pada masa akan datang.

“Sudah pastinya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan PPSPM di atas hadiah ini, insya-Allah kereta ini saya akan berikan kepada emak untuk kegunaannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

261
Kongsi :
Previous post ZOO MELAKA HIDUPKAN ‘VIBE’ UNIK BILA LARUT MALAM
Next post MELAKA PERGIAT GOTONG-ROYONG MEGA BANTERAS DENGGI