
ZOO MELAKA HIDUPKAN ‘VIBE’ UNIK BILA LARUT MALAM
AYER KEROH 8 Februari – Suasana malam memberi pengalaman berbeza buat pengunjung yang hadir ke Zoo Melaka sempena Program Melaka Bila Larut Malam yang diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.
Rata-rata pengunjung menyifatkan program itu sebagai pengalaman menarik, khususnya apabila mereka berpeluang melihat gelagat haiwan pada waktu malam.
Salah seorang pengunjung, Noraidah Miskan, 51, berkongsi keterujaannya apabila ini menjadi kali pertama dia berkunjung ke zoo pada waktu malam.
“Perasaan saya malam ini sangat teruja kerana ini kali pertama saya berkunjung ke zoo pada waktu malam. Jadi, saya dapat melihat haiwan-haiwan yang aktif bergerak pada waktu malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Zoo Melaka, di sini, semalam.
Noraidah yang berbusana tradisional, turut memuji program berkenaan kerana banyak menyumbang kepada ekonomi negeri, selain turut membantu rakyat menikmati tarikan pelancongan pada harga murah.
“Program Bila Larut Malam ini sangat bagus kerana membantu meningkatkan ekonomi negeri dan secara tidak langsung ia mempromosikan identiti kita, terutamanya apabila pengunjung yang memakai pakaian tradisional mendapat kemasukan percuma,” katanya.
Sementara itu, Ain Nasuha Fakhrul, 25, berkongsi perasaan gembiranya dan berkata program berkenaan banyak memberi manfaat, termasuk tawaran harga tiket serendah RM10.
“Saya gembira dan sangat teruja kerana ini kali pertama saya datang zoo pada waktu malam. Saya ambil peluang ini kerana kadang-kadang hujung minggu zoo penuh dengan pengunjung.
“Jadi saya sarankan orang ramai datang mencuba. Tiket hanya RM10 sahaja, memang berbaloi.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menganjurkan program seperti ini, terutamanya untuk orang yang bekerja pada waktu siang seperti saya. Waktu malam ini sesuai untuk luangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


