Sorting by

×

MELAKA PERGIAT GOTONG-ROYONG MEGA BANTERAS DENGGI

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

PAYA RUMPUT 8 Februari – Program Gotong-Royong Mega akan terus dipergiatkan di seluruh Negeri Melaka bagi membanteras kes demam denggi yang masih berada di tahap membimbangkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan rekod laporan Denggi Negeri Melaka tahun lalu, sebanyak 1,046 kes demam denggi telah direkodkan.

Menurut beliau, dalam tempoh yang sama juga sebanyak 38 wabak denggi telah direkodkan, termasuk dengan dua wabak ‘hotspot’ dan tiga wabak berulang.

Malah, beliau berkata, lebih membimbangkan, kumulatif kematian denggi meningkat kepada tiga kes, berbanding dua kes pada tahun 2024, selain turut merekodkan case fatality rate (CFR) pada kadar 0.29 peratus pada tahun 2025, sekali gus melebihi aras kematian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu 0.20 peratus.

“Oleh sebab itu, Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka ini dianjurkan sebagai cerminan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan, malah merupakan langkah penting untuk kita bersama-sama memastikan persekitaran yang lebih sihat, selamat dan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Demi Paya Rumput dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bilangan 1 Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Taman Rambai Jaya, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.

Menurut beliau, Taman Rambai Jaya dipilih sebagai lokasi pertama Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka tahun ini bersempena Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung selama lapan hari sehingga 15 Februari depan.

Jelasnya, meskipun tiada kes denggi dilaporkan di Taman Rambai Jaya dan masih mengekalkan sifar kes sehingga awal tahun ini, namun penilaian risiko denggi mendapati kawasan ini masih berada dalam kategori berpotensi berlakunya penularan wabak dan memerlukan tindakan penambahbaikan secara berterusan.

“Maka, penganjuran Program Gotong-Royong Mega ini amat signifikan sebagai langkah proaktif untuk memutuskan rantaian pembiakan nyamuk Aedes, di samping memperkukuh penglibatan komuniti setempat.

“Saya menyeru agar seluruh lapisan masyarakat dapat terus mengamalkan budaya kebersihan, menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di kawasan kediaman masing-masing serta menjadikan pencegahan denggi sebagai tanggungjawab bersama, demi kesejahteraan rakyat dan kesihatan Negeri Melaka secara
keseluruhannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post REZEKI NAIK MELAKA RIVER CRUISE, PELAJAR DARI PERAK MENANG PROTON SAGA
Next post BANTUAN RAMADAN, SYAWAL BANTU MUALAF MELAKA TERUS MELANGKAH