
FESTIVAL MAKANAN, SUKAN PERMOTORAN BERSKALA MEGA DI MELAKA OKTOBER DEPAN
BANDA HILIR 9 Februari – Kerajaan Negeri menjemput penganjur Food & Drift Festival untuk menganjurkan program berkonsep makanan dan sukan permotoran dengan skala lebih besar yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelawaan itu sebagai galakan dan sokongan mengangkat idea anak muda untuk bersama-sama memperkasa sektor pelancongan negeri.
Katanya, penganjuran festival seumpamanya dilihat berpotensi menjadi acara tahunan yang mampu menarik kehadiran pengunjung tempatan dan luar negeri.
“Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi menyokong pelaksanaan program berskala mega itu nanti.
“Kita sentiasa terbuka dan menyokong program yang digerakkan anak muda, khususnya yang mampu memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
“Festival seperti ini bukan sahaja menjadi platform bakat anak muda, malah mampu mencipta pengalaman pelancongan berbeza kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Food & Drift Festival di Harbour Street, Pulau Melaka, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan penganjuran festival yang mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Optimis terhadap festival tersebut, beliau berharap penganjuran berskala besar pada Oktober nanti melibatkan lebih banyak pengisian menarik termasuk aktiviti automotif, pameran kreatif, vendor tempatan serta elemen hiburan yang lebih tersusun.
“Usaha ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan sukan permotoran, selain memberi ruang kepada anak muda untuk terus berkarya dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Jika sebelum ini Melaka pernah menganjurkan acara permotoran seperti RXZ Members Ride Edition, kali ini kita mengalu-alukan pula sukan permotoran drift ke negeri bersejarah.
“Kerajaan Negeri yakin, penganjuran festival berskala besar ini mampu menjadi tarikan baharu dalam kalendar pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


