
BIARLAH SUMBANGAN INI MEMBAWA SENYUMAN – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 9 Februari – Selepas hampir dua dekad Kerajaan Negeri masih meneruskan inisiatif sumbangan perayaan, sekali gus membuktikan nilai kebersamaan dan semangat muhibah telah lama menjadi budaya di Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, bagi tahun 2026 Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 kepada 1,000 orang penerima di seluruh Negeri Melaka sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Hasrat saya satu sahaja, biarlah sumbangan ini membawa senyuman, biarlah saudara saudari dapat menyambut perayaan dengan hati yang lapang, dapat makan bersama keluarga, pakai baju baru dan meraikan tahun baharu dengan penuh kesyukuran.
“Khusus untuk Parlimen Masjid Tanah yang saya sayangi, saya berbesar hati menyampaikan RM35,000 kepada 175 orang penerima, termasuk kit makanan sebagai persediaan menyambut Tahun Baharu Cina pada 17 Februari nanti.
“Selain itu, melalui peruntukan Pejabat Ketua Menteri Melaka saya sendiri, saya berbesar hati memperuntukan sebanyak
RM10,000 kepada 100 orang penerima dari Parlimen Masjid Tanah,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti negeri Datuk kalsom Noordin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim, Dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri
Melaka Halyjah Muhamad.
Sebagai pemimpin, Ab Rauf berkata, majlis dianjurkan paling dekat di hati beliau kerana peluang untuk berjumpa secara langsung dengan segenap lapisan rakyat.
“Saya dapat bersalaman, bertanya khabar, melihat senyuman dan mendengar sendiri cerita kehidupan saudara saudari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


