
JALAN PINTAS SIMPANG KERAYONG-SIMPANG BEKOH DIBUKA 13 FEBRUARI INI
DURIAN TUNGGAL 9 Februari – Kerajaan Negeri akan merasmikan pembukaan laluan pintas baharu membabitkan kawasan Simpang Kerayong ke Simpang Bekoh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada 13 Februari ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, langkah itu sebagai usaha mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Katanya, pembinaan laluan pintas itu dilaksanakan selepas menerima peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah memulakan kerja-kerja pembinaan jalan tersebut sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan aliran trafik lebih lancar khususnya di kawasan pekan kecil sekitar DUN Rim.
“Jalan pintas baharu ini akan dirasmikan pembukaannya pada Jumaat, 13 Februari dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
“Ia bukan sahaja dapat memendekkan masa perjalanan malah mampu mengurangkan kesesakan di pekan berhampiran terutama pada waktu puncak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan paras air di Empangan Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Saleh Jusman; Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA), Azizul Adzran Mahmor serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Hameed berkata selain Rim, DUN Merlimau turut dikenal pasti sebagai kawasan yang bakal menerima projek laluan pintas baharu bagi menangani isu kesesakan trafik.
Jelasnya, peruntukan berjumlah RM38 juta telah diluluskan oleh KKDW dan proses tender bagi projek tersebut akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Bagi DUN Merlimau, projek laluan pintas melibatkan kawasan Pekan Merlimau yang sering mengalami kesesakan terutamanya ketika waktu puncak.
“Kita jangkakan projek laluan pintas DUN Merlimau ini akan siap sepenuhnya pada awal tahun 2027,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

