Sorting by

×

5 MOTOSIKAL, 10 BASIKAL MENANTI WARGA PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PAYA RUMPUT 10 Februari – Sebanyak lima motosikal, 10 basikal dan pelbagai barangan elektrik menanti warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada hujung minggu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, hadiah istimewa itu bersempena acara kemuncak Karnival Demi Paya Rumput yang akan diadakan di Stadium Hang Jebat pada Sabtu (14 Februari) ini.

Bagaimanapun beliau menyeru penduduk Paya Rumput untuk mengimbas kod respon pantas (QR) yang disediakan di lokasi penganjuran pelbagai program sepanjang karnival itu berlangsung bermula Ahad lalu.

“Dengan mengimbas kod QR ini, semua penduduk berpeluang memenangi hadiah cabutan menarik yang disediakan, di mana kita ada lima buah motosikal, 10 buah basikal dan pelbagai lagi hadiah menarik yang lain,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Tayangan Wayang Pacak anjuran JPKK Cheng Perdana bersempena Karnival Demi Paya Rumput di Padang Taman Bertam Jaya, di sini, malam tadi.

Menurut Rais, walaupun baru dua hari berlangsung karnival itu, sambutan yang diterima amat luar biasa apabila lebih 2,500 warga Paya Rumput telah hadir dan memeriahkan pelbagai acara dan program bermanfaat yang disediakan.

Beliau percaya, sambutan itu akan terus meningkat sehinggalah berakhirnya karnival yang berlangsung selama lapan hari itu pada Ahad ini.

“Sokongan yang diterima daripada rakyat ini bukan sahaja dari sudut moral, tetapi program-program seperti inilah yang membuktikan segala inisiatif oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam membawa agenda Melaka Sayang Rakyat itu sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

452
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUSKAN KEMASUKAN PERCUMA PRODUK PELANCONGAN, TARIKH DITANGGUH KE 31 OGOS
Next post PPSPM, SEKTOR PERHOTELAN JALIN KOLABORASI TAWAR PAKEJ MENARIK