Sorting by

×

‘HOHO CRUISE’ DILANCAR 14 FEBRUARI, TEROKA MELAKA DARI PERSPEKTIF BERBEZA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

DUYONG 11 Februari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bakal melancarkan pakej Hop-On Hop-Off (HOHO) Cruise pada 14 Februari ini sebagai satu lagi produk pelancongan baharu di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, HOHO Cruise adalah inisiatif pelancongan baharu berkonsepkan pengangkutan alternatif yang memberi fleksibiliti kepada pelancong meneroka pelbagai tempat menarik di bandar Melaka.

Jelas beliau, dengan satu tiket pelancong boleh naik dan turun bot di 16 jeti sekitar Sungai Melaka.

“HOHO Cruise ini menawarkan perkhidmatan santai, memudahkan perjalanan antara tempat bersejarah dan kawasan bandar serta membolehkan penumpang meneroka, makan, atau bergambar sebelum menaiki bot.

“Ia secara tidak langsung menjadikannya sebagai mod pengangkutan yang sangat efisien dan santai dan pada masa sama kita ingin pelancong yang datang ke Melaka dan merasai pengalaman ala-ala ‘Venice of the East’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Taklimat HOHO Cruise Sebagai Mod Pengangkutan Bagi Penyuraian Trafik di Kafe Terapung Mendam Berahi Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Whatsapp image 2026 02 11 at 12.21.52

Mengulas lanjut, Shaharul berkata, pakej yang ditawarkan terbahagi kepada dua, iaitu pas satu hari dan tiga hari.

“Pas satu hari serendah RM25 untuk kanak-kanak dan RM40 untuk dewasa, manakala pas tiga hari serendah RM50 untuk kanak-kanak dan RM100 untuk dewasa.

“Pas satu hari sah digunakan dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam. Bagi pas tiga hari pula, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan ini sepanjang tempoh tersebut, sekali gus menggalakkan mereka menginap lebih lama di Melaka,” katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan itu juga merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan dan pengurangan kesesakan lalu lintas di Melaka, khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post YB RAIS PRIHATIN NASIB RAKYAT BERBILANG KAUM
Next post PENERIMA RUMAH MESRA RAKYAT DI MELAKA DIMINTA TIDAK CULAS LUNAS PINJAMAN