
HOHO CRUISE SUNGAI MELAKA PACU KONSEP ‘PAY LESS SEE MORE’
DUYONG 12 Februari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri pelancongan di negeri ini bagi menjayakan produk pelancongan baharu Sungai Melaka iaitu Hop-On Hop-Off (HOHO) Cruise.
Kerjasama itu diteroka menerusi sesi Taklimat HOHO Cruise Sebagai Mod Pengangkutan Bagi Penyuraian Trafik yang diadakan di Kafe Terapung Mendam Berahi Pengkalan Rama, di sini, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, produk baharu itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya hotel, inap desa dan ‘guesthouse’ yang terletak berhampiran Sungai Melaka.
Jelas beliau, ia bagi memastikan konsep ‘Pay Less See More’ dapat diterapkan kepada perkhidmatan dan produk yang disediakan.
“PPSPM sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan semua pihak, terutamanya penggiat industri pelancongan yang beroperasi di sepanjang Sungai Melaka.
“Bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 19 juta pengunjung menjelang 2026, strategi memperkasa sektor pelancongan melalui kolaborasi, naik taraf infrastruktur, dan penganjuran acara istimewa perlu dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada sesi taklimat berkenaan.
Dalam pada itu, Shaharul Azuar turut mencadangkan agar setiap jeti disediakan PPSPM dijadikan jeti angkat kepada penggiat industri pelancongan yang terletak berhampiran dengan jeti tersebut.
“Dengan cara ini, kita boleh bekerjasama dengan mencantikkan lagi jeti supaya ia dijadikan tarikan seperti pengiklanan dan lain-lain,” tambahnya.
HOHO Cruise merupakan inisiatif yang membolehkan pelancong menaiki dan turun bot di 16 buah jeti sekitar Sungai Melaka dengan hanya menggunakan satu tiket.
Ia menawarkan fleksibiliti dan memudahkan pelancong untuk meneroka pelbagai tempat menarik dan pada masa sama ia juga menjadi antara mod pengankutan alternatif yang memudahkan pelancong dan orang ramai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


