Sorting by

×

TABUNG AMAL PENDIDIKAN ANAK-ANAK DUN PAYA RUMPUT DILANCARKAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PAYA RUMPUT 15 Februari – Tabung Amal Pendidikan Anak-Anak Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput secara rasmi dilancarkan dengan kutipan awal berjumlah RM30,000 bagi memperkasa pendidikan anak-anak dalam kawasan DUN itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, beliau yakin jumlah kutipan dana tersebut akan terus meningkat dari semasa ke semasa menerusi sokongan pelbagai pihak.

“Tabung ini diwujudkan sebagai inisiatif berterusan bagi memastikan kebajikan serta keperluan pendidikan pelajar diberi perhatian.

“Tahun ini kita bermula dengan jumlah RM30,000 malah selalunya ia akan bertambah dan dana ini akan disumbangkan semula untuk pendidikan anak-anak di dalam DUN Paya Rumput,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tabung Amal Pendidikan Anak-Anak DUN Paya Rumput di perkarangan Stadium Hang Jebat, semalam.

Terdahulu majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut Rais, setiap DUN mempunyai kaedah dan pendekatan tersendiri dalam membantu rakyat khususnya membabitkan aspek pendidikan.

“Saya yakin banyak lagi DUN melakukan inisiatif tetapi dengan kaedah dan cara tersendiri malah diperingkat saya setiap tahun kami akan mencari tajaan serta mengumpul dana.

“Dengan duit yang terkumpul akan digunakan semula dengan memberi insentif RM50 kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain insentif RM50 sebagai bantuan awal persekolahan untuk pelajar JAIM.

“Untuk sumbangan tahun 2026 akan dilakukan pada Ahad (hari ini) membabitkan seramai 450 penerima,” katanya.

Jelasnya, inisiatif berkenaan diharap dapat memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik serta dapat mengurangkan beban kewangan keluarga menjelang sesi persekolahan dan peperiksaan utama.

Terdahulu, turut berlangsung Konsert Amal Si Hitam Manis yang menampilkan penyanyi lagenda Datuk Hattan bersama Hazama dan Black Hanifah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

329
Kongsi :
Previous post BAWA SUARA, PERJUANG HAK OKU MELAKA
Next post KARNIVAL DEMI PAYA RUMPUT SATUKAN KOMUNITI DALAM SUASANA HARMONI