
FOOD RESCUE ‘SELAMATKAN’ LEBIHAN MAKANAN BAZAR RAMADAN
AYER KEROH 25 Februari – Inisiatif Food Rescue yang dilaksanakan di bazar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini, berjaya menyelamatkan lebihan juadah makanan yang tidak terjual.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron berkata, program dilaksanakan itu bertujuan mengurangkan pembaziran makanan dengan menyalurkannya kepada golongan memerlukan.
Sapiah berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka.
“Program Food Rescue ini bermula semalam (Isnin) dan akan diteruskan sepanjang Ramadan yang mana bazar Ramadan Masjid Al-Alami, MITC lokasi yang terpilih bagi kawasan pentadbiran MPHTJ.
“Sejumlah 205 kilogram makanan dan minuman berjaya dikumpul daripada peniaga bazar.
“Semua makanan yang diterima akan melalui proses saringan bagi memastikan ia selamat dimakan sebelum dihantar ke rumah-rumah ibadat terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Menyantuni Peniaga Bazar Ramadan Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh, semalam.
Menurut Sapiah, program itu juga selari dengan usaha kelestarian alam sekitar yang diperkasa MPHTJ dalam menguruskan tapak bazar Ramadan di bawah pentadbirannya.
“Inisiatif ini secara tidak langsung memupuk kesedaran dalam kalangan peniaga dan pengunjung mengenai kepentingan mengelakkan pembaziran makanan, khususnya sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


