
BUANG SAMPAH: 978 INDIVIDU BAKAL JALANI PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT
AYER KEROH 8 Mac – Seramai 978 individu telah diberikan notis pemberitahuan kesalahan berkaitan pembuangan sampah menerusi pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 4 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah itu seramai 59 individu telah didakwa di mahkamah manakala baki kes akan dibawa secara serentak selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, pada bulan lalu pihak berkuasa telah melaksanakan operasi bersepadu secara serentak bagi mengesan individu yang melakukan kesalahan pembuangan sampah.
“Daripada jumlah yang ditahan, empat kes melibatkan Melaka, di mana pesalah akan didakwa pada minggu hadapan.
“Tindakan tegas ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran.
“Kita berharap masyarakat lebih cakna dan tidak membuang sampah kecil merata-rata terutama golongan perokok untuk tidak membuang puntung rokok sesuka hati kerana ia juga merupakan satu bentuk pencemaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil pemantauan penguatkuasaan PKM selepas merasmikan Projek Ramadan Kareem Food Rescue dan Free Market 1447H di Pasar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin; Pengarah SWCorp negeri Nor Zaki Md Nor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut khalid berkata, jika sebelum ini kebanyakan kes melibatkan pembuangan sampah bersaiz besar, namun kini pihaknya mendapati tangkapan lebih banyak melibatkan puntung rokok dan sampah kecil yang dibuang di merata tempat.
“Majoriti kes kita tahan dan denda ini melibatkan puntung rokok yang kita dapat tangkap membuang sampah di kawasan premis makanan dan lokasi tumpuan orang ramai.
“Justeru, kita berharap usaha penguatkuasaan yang dilaksanakan dapat mengurangkan jumlah kesalahan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


