
KUTIPAN AMAL RM50,000 BANTU 10 MADRASAH DI MELAKA
PENGKALAN BATU 8 Mac – Program Singgah Sahur yang dianjurkan Kelab Ducati Official Club Malaysia (DOCM) dengan kerjasama Supercar Gang berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada 10 madrasah terpilih di negeri ini.
Presiden Ducati Official Club Malaysia (DOCM), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri Melaka serta Polis Melaka sebagai sebahagian daripada aktiviti kebajikan kelab sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, program tersebut turut menghimpunkan lebih 65 buah kereta mewah pelbagai jenama dari Kuala Lumpur serta lebih 120 motosikal Ducati yang hadir bagi memeriahkan program singgah sahur di negeri ini.
“Program ini bukan kali pertama diadakan di Melaka dan boleh dikatakan ini merupakan kali keempat kita menganjurkannya di negeri ini.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan insya-Allah tahun hadapan kita akan datang lagi dengan jumlah sumbangan yang lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Singgah Sahur Supercar Gang dan DOCM di Kilang Makan, di sini, hari ini.
Menurutnya, kolaborasi antara Supercar Gang dan DOCM pada program tersebut merupakan kali pertama diadakan bersama walaupun kedua-dua kelab berkenaan sering menganjurkan program kebajikan setiap kali Ramadan.
“Kali ini kita gabungkan program tersebut dan memilih Melaka kerana Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengalu-alukan kehadiran mana-mana pihak untuk datang menyumbang serta merancakkan ekonomi di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri serta pihak polis turut memudahkan penganjuran program berkenaan.
“Apabila ada kerjasama daripada Kerajaan Negeri dan pihak polis, kita juga akan memastikan semua peraturan serta undang-undang dipatuhi sepanjang program dijalankan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


