
80 ASNAF PENGKALAN BATU DIRAIKAN
BANDARAYA MELAKA 8 Mac – Keceriaan jelas terpancar pada wajah 80 asnaf terpilih dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang diraikan pada majlis berbuka puasa.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata selain menikmati hidangan istimewa, asnaf dalam kalangan warga emas, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU).
“Malah mereka ini turut menerima sumbangan tunai secara ‘one-off’ yang mana secara tidak langsung dengan wang tersebut ia dapat membantu meringankan perbelanjaan sempena Ramadan ini.
“Bagi sesetengah pihak jumlah tersebut mungkin nampak kecil tetapi bagi penerima sumbangan diterima itu cukup bermakna dan besar nilainya,” katanya.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Asnaf DUN Pengkalan Batu, disebuah restoran di Kampung Morten, semalam.
Menurut Kalsom, penganjuran program itu hasil daripada komitmen yang ditunjukkan oleh pihak penyumbang selaras dengan aspirasi ‘Melaka Sayang Rakyat’.
“Setiap lapisan masyarakat akan terus disantuni tanpa ada yang terpinggir menerusi pelbagai penganjuran program dan ini secara tidak langsung memberi senyuman kepada mereka.
“Malah menerusi program sebegini juga ia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat malah dapat menggalakkan lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


