
PEMIMPIN MASYARAKAT TUNJANG KEKUATAN PEMBANGUNAN MELAKA
AYER KEROH 8 Mac – Barisan pemimpin masyarakat peringkat akar umbi disifatkan sebagai tonggak penting dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran beliau, pelbagai cabaran berjaya diharungi hasil sokongan padu barisan kepimpinan serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.
Menurutnya, kejayaan dan pencapaian dikecapi Melaka hari ini bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya merupakan hasil kerja berpasukan antara kepimpinan negeri dan pemimpin masyarakat.
“Saya bersyukur walaupun kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan liku perjalanan sepanjang tempoh ini, namun dengan sokongan seluruh barisan kepimpinan serta kepercayaan rakyat, kita berjaya mengharunginya dan terus melakar pelbagai pencapaian membanggakan.
“Apa lebih penting, setiap pencapaian dinikmati hari ini bukan berdiri atas usaha saya seorang, sebaliknya hasil kerja berpasukan yang kukuh antara kepimpinan negeri dan barisan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Masyarakat di Seri Bendahara di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Rais Yasin; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Senator Datuk Dr. Mustafa Musa; Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali; Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut masa, tenaga serta kesabaran yang tinggi.
“Namun keikhlasan dalam berkhidmat yang menjadikan kepimpinan di peringkat akar umbi sebagai tonggak kekuatan kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


