Sorting by

×

WANITA ‘JINAKKAN’ PARI, MUNCUL JUARA PERTANDINGAN MEMANCING PANTAI PUTERI

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PANTAI KUNDOR 10 Mac – Meminati dunia hanyir kerana sering mengikut suami memancing membawa tuah kepada Naziani Nadzir, 43.

Ia selepas wanita dari Kuantan, Pahang itu muncul juara pada pertandingan memancing ‘Saturday Nite Fishing Strike Ramadan’ di Pantai Puteri pada Sabtu lalu.

Menurut Naziani, menempuh perjalanan hampir 300 kilometer untuk ke Melaka terasa berbaloi apabila jorannya disambar ikan pari seberat 2.895kg, sekali gus muncul tangkapan terberat pada pertandingan itu.

Bercerita lebih lanjut, dia berkata, sebaik pertandingan bermula pada jam 10.30 malam, dia mempertaruhkan udang hidup yang dianggap sebagai umpan ‘universal’ dan ampuh untuk memburu pelbagai spesies ikan di Pantai Puteri.

Menurutnya, lontaran pertama tidak mendatangkan hasil, sehinggalah balingan kedua, jorannya mula diketuk sebelum menunduk ditarik spesies pemangsa dasar.

“Memang agak panik apabila ikan pari menyambar umpan, namun dengan bantuan suami, ikan itu berjaya dinaikkan selepas bertarung kira-kira lima minit,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, kemenangan itu disifatkan sebagai rezeki Ramadan dan hadiah kemenangan dapat digunakan untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sementara itu, pemenang tempat kedua menjadi milik Muhammad Huzairey Adon dari Muar, Johor yang menaikkan ikan duri seberat 0.695kg, manakala Ahmad Johari Mohd Saleh dari Batu Berendam yang menaikkan ikan malong 0.685kg di tempat ketiga.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang RM3,000 dan RM1,000.

Pertandingan memancing yang mendapat sokongan Tourism Malaysia itu merupakan antara acara yang dianjurkan bagi menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Melaka 2.0.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post KAK SOM PANTAU KEHIDUPAN ENAM BERADIK OKU
Next post MELAKA BERUPAYA JADI HAB PENGELUARAN KERETA EV