Sorting by

×

PENJAWAT AWAM MELAKA SAMBUT BAIK CUTI LANJUTAN, TANDA KEPRIHATINAN KERAJAAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 10 Mac – Cuti lanjutan sehari kepada penjawat awam Melaka sempena Aidilfitri yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh disambut baik dan secara tidak langsung mencerminkan kepedulian Kerajaan Negeri terhadap aspek kebajikan golongan berkenaan.

Kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Solehen Rosandi berkata, meskipun cuti lanjutan diberikan hanya sehari namun amat bermakna terutama buat mereka yang pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

“Cuti bertambah secara tidak langsung kami boleh luangkan lebih masa bersama keluarga, inisiatif diumumkan adalah bukti Kerajaan Negeri menerusi kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh amat prihatin terhadap kebajikan kakitangan kerajaan negeri,” katanya.

Muhammad Solehen berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) Datuk Mohamad Azmi Sabtu; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu Marina Abdul Jamal, bertugas di Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) menganggap pengumuman oleh Ketua Menteri mencerminkan keprihatinan terhadap keseimbangan antara komitmen kerja dan kehidupan keluarga penjawat awam.

“Inisiatif Kerajaan Negeri amat bermakna kerana bukan selalu dapat nikmati tambahan hari cuti, secara tidak langsung menunjukkan kami penjawat awam dihargai.

“Selain itu dengan cuti lanjutan diberikan juga kerana kami mempunyai masa yang lebih untuk beraya dan menziarahi sanak saudara,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri mengumumkan cuti lanjutan sehingga 24 Mac untuk penjawat awam Melaka sekiranya satu Syawal disambut pada 21 Mac (Sabtu).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post TUN DR MOHD ALI. SANTUNI PENJAWAT AWAM PADA MAJLIS IHYA RAMADAN
Next post KAK SOM PANTAU KEHIDUPAN ENAM BERADIK OKU