
LEBIH 5,000 PARKIR PERCUMA SELAMA SEMINGGU DI ALOR GAJAH
AYER KEROH 11 Mac – Inisiatif parkir percuma selama tujuh hari yang diumumkan Kerajaan Negeri sempena Aidilfitri membabitkan sebanyak lebih 5,000 petak parkir di bawah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kemudahan parkir itu melibatkan tiga bandar utama di daerah terbabit iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah dan Pulau Sebang.
Beliau berkata, selain kawasan bandar turut terlibat adalah beberapa kawasan pekan kecil seperti Kuala Sungai Baru dan Rembia yang menjadi tumpuan penduduk setempat untuk menjalankan pelbagai urusan harian.
“Inisiatif parkir percuma yang akan bermula pada Syawal pertama hingga tujuh dijangka memberi kelegaan kepada orang ramai khususnya mereka yang pulang ke kampung serta pengunjung yang datang membeli kelengkapan raya.
“Kebiasaannya kawasan parkir di tiga bandar utama iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah dan Pulau Sebang menjadi tumpuan orang ramai terutama pada musim perayaan.
“Pastinya ia memberi manfaat dan sekali gus dapat membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat khususnya dalam musim perayaan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut TPr. Saifuddin, pihaknya menjangkakan jumlah pengunjung ke kawasan bandar utama di daerah Alor Gajah akan meningkat menjelang sambutan Aidilfitri susulan aktiviti membeli-belah dan urusan persiapan perayaan termasuk kepulangan anak rantau.
“Untuk itu, kita mengingatkan orang ramai khususnya pemandu supaya mematuhi peraturan parkir yang ditetapkan termasuk tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan bandar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


