Sorting by

×

LEBIH 2,000 PENGGIAT GIG MELAKA MOREH BERSAMA KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI BENDAHARA 12 Mac – Lebih 2,000 rakan penghantar makanan dan pemandu e-hailing dari seluruh negeri ini berhimpun dan memeriahkan Majlis Moreh YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Rider dan Penggiat Gig, malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada Kerajaan Negeri mendengar sendiri pandangan serta cadangan daripada komuniti pekerja ekonomi gig di negeri ini.

Katanya, moreh santai tersebut turut menjadi platform untuk mendekati golongan berkenaan yang memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi digital di Melaka.

“Saya bersama penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang datang dari seluruh Melaka untuk kita raikan dalam program moreh bersama pimpinan persatuan mereka.

“Dalam pertemuan ringkas dan santai ini, Kerajaan Negeri turut menyumbang lebih RM50,000 kepada komuniti sektor e-hailing dan penggiat gig ini yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan ini menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penyerahan sumbangan duit raya kepada penunggang p-hailing dan penggiat gig yang hadir ke majlis berkenaan di Kediaman Rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerk Chee Yee; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, di Melaka mempunyai lebih 5,000 penggiat gig yang berdaftar dan perkhidmatan itu semakin diterima ramai sehingga menjadi satu fenomena baharu dalam landskap pekerjaan negara.

“Dalam pertemuan ini juga mereka turut memberikan beberapa pandangan serta cadangan berkaitan kebajikan pekerja ekonomi gig antaranya dari segi kebajikan, keselesaan mereka ketika bekerja dan pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post PERUNTUKAN BANTUAN PENDIDIKAN MAHASISWA ANAK MELAKA MENINGKAT RM240,000 – KM