Sorting by

×

‘SEKAMPUNG’ PANTAI KUNDOR SEMARAK MAKANAN TRADISI

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PANTAI KUNDOR 15 Mac – Sudah lebih tujuh tahun, masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor tidak pernah lelah mengangkat makanan tradisi setiap kali menjelang Aidilfitri.

Ia digerakkan menerusi Program Kacau Dodol Perdana dan Masak Kuih Tradisional DUN Pantai Kundor anjuran Japerun Pantai Kundor.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, saban tahun program itu dilihat semakin berkembang dan meriah dengan pengisian yang ditambah baik.

Menurutnya, daripada bermula dengan satu kelompok kecil, program itu kini disertai segenap lapisan masyarakat termasuk penglibatan jabatan, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama-sama memeriahkannya berpaksikan semangat gotong-royong.

“Indahnya apabila melihat yang muda hingga tua, selain pelbagai agensi seperti polis, tentera, pihak sekolah dan lain-lain menunjukkan semangat kebersamaan demi mengangkat makanan tradisi kita.

“Boleh dilihat lelaki tanpa mengira usia mengacau dodol bersama, golongan belia pula memasak bubur chacha, manakala kaum wanita membuat kuih tradisional.

“Tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim kerana berjaya mengembangkan program ini dengan pengisian yang lebih menarik dan meriah,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke program berkenaan yang diadakan di Pentas Budaya Pantai Puteri dan turut dihadiri Tuminah.

Fb img 1773573726329
RAIS dan Tuminah ketika mengacau dodol pada Program Kacau Dodol Perdana dan Masak Kuih Tradisional DUN Pantai Kundor di Pentas Budaya Pantai Puteri.

Menurut Rais, menerusi program itu, sebanyak 10 kawah dodol dimasak secara bergotong-royong melibatkan warga DUN Pantai Kundor daripada setiap cawangan.

Jelas beliau, sebanyak 1,000 bekas dodol yang dimasak itu kemudiannya diagih kepada masyarakat kampung dan pengunjung di sekitar Pantai Puteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post 16,000 PETAK PARKIR PERCUMA DI KAWASAN MBMB SELAMA 7 HARI
Next post MELAKA HIDUPKAN ‘RUMAH-RUMAH ALLAH’ DENGAN MAJLIS ILMU