Sorting by

×

RAMAI TERPUKAU HIASAN KREATIF POKOK BUNGA KERTAS, BUNGA LOCENG DI JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

JASIN 27 Mac – Hiasan unik dan kreatif pokok bunga kertas dan bunga loceng di laluan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dekat Jasin, di sini, memukau ramai pengguna jalan raya sempena Aidilfitri ini.

Tidak hairanlah hiasan yang diusahakan Jabatan Landskap Dan Perkhidmatan Bandar, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) itu mendapat pujian ramai di media sosial.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, arca yang dinamakan ‘Bloomspire Tree’ itu adalah sebahagian daripada strategi pengukuhan identiti MPJ sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini dengan mengindahkan kawasan strategik.

Jelas beliau, pembinaan arca itu di persempadanan negeri, daerah dan sepanjang lebuh raya utama mencerminkan komitmen MPJ dalam menguruskan estetika bandar selari dengan pembangunan infrastruktur jalan raya.

“Cadangan penanaman spesies Bougainvillea (Bunga Kertas) dan Allamanda cathartica (Bunga Loceng) di dalam struktur Sculpture Flour Tree ini bertujuan untuk mewujudkan satu titik tumpuan visual (wow factor) yang ikonik di kawasan pentadbiran MPJ.

“Pemilihan spesies ini bukan sahaja mementingkan aspek estetika melalui kepelbagaian warna, malah mengambil kira faktor ketahanan tanaman terhadap landskap bandar serta kemudahan penyelenggaraan jangka masa panjang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Muhammad Zahiruddin lagi, arca ‘Sculpture Flour Tree’ itu juga merupakan mercu tanda estetika yang menggabungkan elemen seni bina moden dengan keindahan landskap semula jadi.

“Diharap hiasan landskap ini dapat menjadi simbol kecemerlangan dan keharmonian persekitaran di bawah pentadbiran MPJ,” tambah beliau.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai arca pokok bunga kertas yang menghiasi lebuh AMJ itu apabila rata-rata pengguna jalan raya dan warga maya menyifatkannya kreatif dan mempesonakan.

Tidak kurang juga ada yang kagum dan ingin tahu pihak atau jabatan di sebalik pembinaan arca dan landskap berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post PARAS AIR EMPANGAN TERKAWAL, TIADA KEPERLUAN LAKSANA PEMBENIHAN AWAM
Next post DUA PENGARAH SYARIKAT RUGI LEBIH RM800,000 DIPERDAYA ‘PHONE SCAM’