
MELAKA TIDAK LAKSANA BEKERJA DARI RUMAH
ASAHAN 4 April – Kerajaan Melaka mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan dasar bekerja dari rumah membabitkan penjawat awam negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ketetapan itu diambil memandangkan Melaka sebuah negeri yang kecil dan tidak membabitkan jarak yang begitu jauh di antara satu-satu kawasan.
“Jadi, kita mengambil pendekatan bahawa tiada keperluan untuk Kerajaan Negeri menguatkuasakan arahan bekerja dari rumah.
“Melaka sebuah negeri yang kecil dan boleh diakses dalam tempoh waktu yang cepat dan singkat. Jadi, keperluan ini tidak ada asasnya untuk kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh, di sini, hari ini.
Jamuan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pegawai sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, selain semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).
Dua kriteria itu dinyatakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi surat edaran pelaksanaan pada 2 April lalu.
Pelaksanaan BDR selama tiga hari dalam seminggu untuk perkhidmatan awam itu susulan konflik Asia Barat itu, berkuat kuasa mulai 15 April ini.
Ia juga berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR yang memperuntukkan dasar, syarat dan peraturan BDR.
Berdasarkan surat edaran itu, negeri di mana Ahad menjadi hari kelepasan mingguan, BDR ditetapkan Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.
Untuk negeri membabitkan hari kelepasan mingguan pada Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, BDR adalah secara sepenuh hari pada Isnin hingga Rabu.
Sepanjang pelaksanaan BDR, tempat bekerja pegawai ialah rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja.
Pegawai awam juga perlu menggunakan Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.
Malah, mereka perlu mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam dan ketua jabatan hendaklah memantau keberadaan pegawai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


