Sorting by

×

ASAHAN MAMPU JADI MODEL KAMPUNG SEJAHTERA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ASAHAN 4 April – Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan mampu menjadi model Kampung Sejahtera di Negeri Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Ab Rauf, sasaran itu berdasarkan indikator bahawa kampung itu bukan sahaja indah alam semulajadinya, tetapi kukuh ekonominya dan bersatu warganya umpama selembar benang yang dikait, ditenun dan dijalin, akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya.

“Saya yakin, di bawah kepimpinan YB Datuk Fairul Nizam Roslan, banyak lagi perubahan dan kemajuan yang sedang dan akan terus digerakkan demi kesejahteraan rakyat DUN Asahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Jamuan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut mengingatkan semua wakil rakyat agar terus berjuang dalam menjadikan rakyat sebagai fokus utama untuk dibantu dan disantuni.

“Selagi masih ada rakyat yang susah..selagi itu wakil rakyat tidak boleh selesa…selagi masih ada suara yang belum didengar, selagi itu kita tidak boleh berhenti.

“Kerana perjuangan merakyat pentadbiran ini bukan tentang kepentingan wakil rakyat, tetapi tentang rakyat yang meletakkan harapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post PENDUDUK ASAHAN NIKMATI PELBAGAI LIMPAHAN NIKMAT DALAM 3 TAHUN
Next post WRUR DUN ASAHAN TERIMA 154 ADUAN, 600 PERMOHONAN RAKYAT