Sorting by

×

CAPAIAN TELEKOMUNIKASI LEBIH BAIK PACU MODEL ASAHAN KAMPUNG SEJAHTERA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

ASAHAN 4 April – Usaha menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan sebagai model Kampung Sejahtera mampu direalisasikan susulan pelbagai usaha pembangunan telah dilaksanakan termasuk penyediaan infrastruktur telekomunikasi.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digtal negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penyelesaian isu capaian telekomunikasi melalui pembinaan 13 menara baharu dalam tempoh tiga tahun menjadi antara komponen penting dalam merealisasikan visi tersebut.

Katanya, kemudahan itu penting kerana kesejahteraan sesebuah kawasan tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa akses teknologi dan komunikasi yang berkesan.

“Menyentuh mengenai hasrat Ketua Menteri untuk menjadikan Asahan sebagai model Kampung Sejahtera, saya amat menyambut baik cadangan tersebut.

“Sebelum ini, kawasan Asahan menghadapi masalah komunikasi dan rangkaian telekomunikasi, namun dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 13 menara telekomunikasi telah dibina bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan teknologi dengan lebih baik.

“Dengan kepelbagaian masyarakat terdiri daripada Melayu, Cina, India dan Orang Asli, Asahan mampu menjadi contoh sebenar Kampung Sejahtera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Asahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Jamuan Aidilfitri pula diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, model itu juga boleh dikembangkan menerusi cadangan mengangkat Kampung Orang Asli Gapam Baru sebagai Perkampungan Budaya Orang Asli Negeri Melaka.

“Ini merupakan cadangan dan inisiatif oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh, di mana ia bakal memacu lagi pembangunan dan kemajuan di kawasan tersebut, selain mampu menarik kehadiran pelancong.

“Insya-Allah, saya akan meneruskan usaha untuk mencapai matlamat yang telah digariskan oleh Ketua Menteri dalam merealisasikan konsep Kampung Sejahtera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

386
Kongsi :
Previous post BEKALAN MAKANAN NEGARA MENCUKUPI, STABIL – MOHAMAD SABU
Next post MELAKA TUBUH ‘TASK FORCE’ PASTIKAN BEKALAN AIR MENCUKUPI