
RUMAH TERBUKA AIDILFITRI TANJUNG BIDARA BAKAL BAWA KEJUTAN
ASAHAN 4 April – Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada 12 April depan bakal membawa kejutan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, kejutan itu dibawakan dalam bentuk persembahan berkonsep konsert terbuka untuk rakyat.
“Siapa yang akan membuat persembahan itu masih saya rahsiakan, namun apa yang pasti ia akan memberi satu kejutan kepada peminat-peminat seni tanah air.
“Apa saya boleh katakan adalah ia berupa ikon seni antarabangsa, namun perinciannya saya tidak boleh beritahu sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Jamuan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Ketua Menteri Merangkap Adun Tanjung Bidara bakal berlangsung pada 12 April 2026 (Ahad) bermula jam 4.30 petang hingga 11.30 malam.
Majlis itu diadakan di Villa d’Acqua, Kampung Pulau Masjid Tanah dan orang ramai dijemput hadir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


