Sorting by

×

ZOO MELAKA BILA LARUT MALAM MEMANG BERBALOI

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 6 April – Night Safari Zoo Melaka bersempena inisiatif Melaka Bila Larut Malam disifatkan sebagai tawaran yang sangat berbaloi.

Program yang diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan itu bukan sahaja menawarkan harga tiket serendah RM10 sahaja, bahkan turut membawa pengunjung merasai kelainan suasana malam di Zoo Melaka.

Rata-rata pengunjung yang hadir memuji program berkenaan yang disifatkan menjimatkan serta berjaya memberi pengalaman unik melihat haiwan nokturnal dalam suasana malam yang lebih menyeronokkan.

Pengunjung dari Nilai, S Sivadhurgha, 33 berkata, dia mendapat tahu mengenai program tersebut melalui platform Facebook dan kemudian mengajak ahli keluarganya untuk hadir.

“Saya fikir awalnya tidak mahu datang kerana tiket mungkin mahal, sekitar RM60 hingga RM80. Tapi bila tahu hanya RM10, terus saya ajak keluarga pergi.

“Pengalaman yang unik dan berbaloi pada saya. Satu perkara yang saya tidak jangka adalah setiap stesen ada kakitangan yang menerangkan tentang nama haiwan, tabiat haiwan, berat dan pelbagai maklumat lain.

“Jadi, dengan hanya RM10. Datang pada waktu malam ini boleh berseronok dan belajar tentang haiwan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Zoo Melaka pada Sabtu.

WhatsApp Image 2026 04 05 at 08.13.08
S Sivadhurgha

Nada sama turut dikongsi Sadiah Shamsuddin, 42, yang teruja merasai pengalaman kali pertama bersama suami dan anak-anak melihat haiwan di zoo pada waktu malam, selain tiket yang ditawarkan juga amat murah.

“Ini kali pertama anak-anak saya datang pada waktu malam, dan mereka sangat berseronok. Rasanya bagus juga buat program seperti ini sebab selain murah, pengalaman pergi zoo waktu malam berbeza daripada waktu siang.

“Kita boleh lihat tabiat unik haiwan pada waktu malam. Bagi saya program seperti ini amat baik dan diharap menjadi contoh kepada produk pelancongan lain di seluruh negara,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post WRUR ASAHAN BELA KEBAJIKAN 113 KELUARGA MEMERLUKAN
Next post KRT KRUBONG HEIGHTS FASA 1 ‘HIDUPKAN’ TRADISI MARHABAN RUMAH KE RUMAH