
YB ALONG BANTU REALISASIKAN IMPIAN ORANG ASAHAN MILIKI RUMAH
ASAHAN 10 April – Tawaran lot tanah antara inisiatif dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan bagi membantu lebih ramai penduduk di Asahan memiliki kediaman sendiri.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, inisiatif itu antara alternatif bagi menangani isu pemilikan tanah yang kerap membantutkan hasrat rakyat khusus golongan B40 membina kediaman idaman mereka.
Fairul Nizam berkata, berikutan itu beliau sedia membantu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan untuk memiliki kediaman sendiri yang menjadi keperluan utama bagi setiap keluarga.
“Alternatif lain seperti membina membina taman perumahan juga tidak sesuai untuk DUN Asahan kerana harga hartanah yang diluar kemampuan penduduk. Usaha ini merupakan antara komitmen saya dalam merealisasikan manifesto selain memastikan kebajikan rakyat di DUN Asahan terus terbela.
“Melaka juga bertuah kerana mempunyai anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi agama Islam yang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat membina rumah,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Melaka Rumahku (PMR) Bina Baharu Lembaga Perumahan Melaka bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan di Kampung Jus Permai, semalam.
Penyerahan itu disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom serta Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin.
Menurutnya, inisiatif PMR dilaksanakan Kerajaan Negeri memberikan impak positif kepada rakyat dan diharap diteruskan pada masa akan datang, sekali gus membantu lebih ramai penduduk neger ini memiliki kediaman sendiri.
“Setakat ini di DUN Asahan terdapat enam penerima kediaman PMR Bina Baharu sejak 2023 hingga 2026 yang telah diluluskan. Manakala untuk PMR Baik Pulih pada 2025 terdapat dua penerima yang layak dengan kos sebanyak RM25,500.
“Selain itu juga berdasarkan data semasa, pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) di DUN Asahan adalah sebanyak 305 unit yang mana daripada jumlah itu 285 unit masih dalam perancangan serta 20 lagi dalam pembinaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


