Sorting by

×

SINAR BAHARU BEKALAN AIR BUAT PENDUDUK KAMPUNG ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

ASAHAN 11 April – Masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan yang sekian lama membelenggu penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dijangka berakhir selepas Projek Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 siap Julai 2026.

Bagi penduduk Kampung Jus, Bukit Senggeh, Batang Melaka, Selandar dan Nyalas, pembinaan loji baharu di Empangan Jus itu bukan sekadar projek pembangunan tetapi sinar harapan untuk menikmati bekalan air yang lebih stabil.

6246637260811996878
AZHAR.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jus Azhar Amin berkata, inisiatif itu amat dinantikan penduduk memandangkan kawasan terbabit sering berdepan masalah tekanan air rendah sehingga ada kalanya terputus bekalan.

“Alhamdulillah, dengan adanya loji tambahan fasa 2 ini ia sangat membantu bukan sahaja penduduk Kampung Jus, malah penempatan sekitar. Jadi dengan adanya tambahan loji baharu ini nanti, ia benar-benar memberi kelegaan kepada penduduk.

“Sebelum ini penduduk kerap berdepan gangguan bekalan air beberapa kali dalam sebulan, keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan yang sentiasa bertindak pantas membantu termasuk menyediakan lori tangki air amat dihargai.

“YB Along memang cakna dan pantas membantu penduduk. Malah, pembinaan loji baharu ini juga antara usaha dan permohonan beliau sendiri demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6246637260811996881
SITI FAIROS.

Sementara itu, penduduk Kampung Selandar Siti Fairus Jais, 53, meluahkan rasa syukur dengan perkembangan projek berkenaan yang disifatkan sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah yang dihadapi mereka.

“Kami sangat bersyukur kerana sebelum ini dalam sebulan dua hingga tiga kali juga kami terputus bekalan air, malah pernah berlaku ketika musim perayaan.

“Harapan kami apabila loji ini siap nanti, masalah ini tidak lagi berulang,” katanya.

6246637260811996885
MERAN.

Bagi Meran Md Yusof, 64, dari Kampung Jus pula pembinaan loji baharu itu amat dinanti-nantikan penduduk yang sekian lama berdepan kesulitan.

“Memang bagus sebab dapat bantu kampung yang selalu tiada air. Sudah lama kami mahukan loji tambahan ini dan kami hargai usaha YB Along yang berusaha merealisasikannya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan ke tapak Projek Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 di Empangan Jus, di sini, baru-baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

512
Kongsi :
Previous post KONSEP ‘PIKNIK’ RUMAH TERBUKA AIDILFTIRI DUYONG TARIK 30,000 PENGUNJUNG
Next post 80 KARYA CAT AIR MALAYSIA-CHINA WARNAI MELAKA