
KPT SEDIA TAWAR TEMPAT KEPADA PELAJAR MALAYSIA TERJEJAS KONFLIK ASIA BARAT
JASIN 17 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia menawarkan penempatan kepada pelajar Malaysia di luar negara yang terjejas susulan konflik di Asia Barat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, mekanisme itu bukan perkara baharu sebaliknya merupakan amalan yang pernah dilaksanakan kerajaan dalam menangani situasi krisis melibatkan pelajar Malaysia di luar negara.
Beliau berkata, pendekatan diambil itu secara tidak langsung dapat memastikan pengajian pelajar tidak akan terjejas.
“Ketika berlaku petang antara Iran dan Iraq pelajar-pelajar yang belajar di Kuwait misalnya kita membawa mereka pulang.
“Malah kita melihat dari segi latar belakang, pengajian dan selepas itu pelajar ini dimasukkan ke universiti yang ada menawarkan kursus yang mereka ikuti.
“Jadi amalan yang sama akan kita laksanakan sekiranya ada keperluan yang perlu dilakukan oleh pihak KPT, namun begitu ingin saya katakan jumlah pelajar Malaysia yang belajar di Negara Teluk tidak seramai seperti yang mengikuti pengajian di Jordan, Arab Saudi mahupun di Mesir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 Zon Selatan (Melaka) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Menurut Dr. Zambry, sebarang pendekatan akan dilaksanakan secara bersasar termasuk dengan mengambil kira bilangan pelajar terlibat serta tahap keselamatan di negara masing-masing.
“Sekiranya (konflik) itu menjejaskan mereka, maka ruang akan diberikan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran bersesuaian dengan keputusan, kelulusan termasuk persefahaman universiti.
“Setakat ini angka yang benar-benar terjejas masih belum diperoleh secara muktamad. Namun begitu apabila KPT menerima maklum balas daripada pelajar, kami sentiasa terbuka malah tiada had-had tertentu untuk mereka belajar,” katanya.
Jelas beliau, KPT akan terus memantau perkembangan semasa selain bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pelajar Malaysia di luar negara sentiasa terjaga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


