
PROMOSI RANCAK, EKONOMI PELANCONGAN MELAKA TERUS BERKEMBANG
BANDA HILIR 19 April – Kepelbagaian promosi membabitkan produk pelancongan di negeri ini dilihat berjaya merancakkan lagi ekonomi sektor tersebut sepanjang tahun ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia termasuklah menerusi penganjuran MATTA Fair Melaka 2026 yang membawakan 40 reruai dan lebih 150 pakej pelancongan menarik kepada orang ramai.
Jelas beliau, walaupun dunia sedang terkesan dengan pelbagai krisis dan konflik yang memberi kesan kepada pelbagai sektor termasuk pelancongan, namun Melaka bersama pemain industri terus proaktif merancakkan pelbagai usaha dalam menarik kehadiran pelancong.
“Saya percaya penganjuran MATTA Fair Melaka untuk edisi ke-11 ini menjadi antara langkah yang kita ambil dalam mempromosikan produk pelancongan negara, di mana ia secara tidak langsung memberi impak positif kepada ekosistem pelancongan ini.
“Pada masa sama, saya yakin pameran ini dapat meningkatkan lagi ekonomi pelancongan Negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan MATTA Fair Melaka 2026 di Mahkota Parade, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Mohd Roslan Abdullah; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah duduk diam dalam mempromosi sektor pelancongan Melaka apabila kempen itu turut digerakkan di luar negara.
Jelas beliau, menerusi beberapa siri lawatan ke luar negara sebelum ini, telah diadakan perjumpaan bersama pelbagai ejen pelancongan antarabangsa bertujuan untuk mempromosikan pakej pelancongan menarik yang ditawarkan Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


