
MELAKA SANJUNG JASA GURU SRA JAIM PACU KECEMERLANGAN PENDIDIKAN AGAMA
AYER MOLEK 19 April – Peningkatan keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di Negeri Melaka saban tahun mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam memacu pendidikan agama.
Pada peperiksaan tahun lalu, Melaka berjaya merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 1.66, di mana ia meningkat berbanding 1.68 pada 2024.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penghargaan wajar diberikan kepada guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di seluruh negeri Melaka yang memainkan peranan dalam melahirkan pelajar-pelajar cemerlang di negeri ini.
“Peningkatan dalam keputusan UPKK negeri menunjukkan peranan guru SRA JAIM wajar untuk diangkat dan dihargai kerana mereka ini lah yang mendidik dan mengajar anak-anak kita untuk berjaya dalam UPKK,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dalam, di sini, semalam.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut hadir barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Terdahulu, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek turut meraikan seramai 46 murid yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam UPKK tahun lalu.
Jelas beliau, kesemua mereka turut diberikan sumbangan wang tunai dan sijil penghargaan sebagai galakan dan dorongan kepada anak-anak DUN Ayer Molek untuk terus cemerlang dalam akademik dan sahsiah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


