
‘CAHAYA KASIH’ MBMB CERIAKAN PENGHUNI TUNAS BAKTI
PANTAI KUNDOR 20 April – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah menceriakan penghuni Sekolah Tunas Bakti menerusi Program Cahaya Kasih Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pada Majlis sama MBMB turut menyumbang RM3,000 kepada pihak pentadbiran kepada sekolah tersebut.
Katanya, penganjuran program seperti itu amat bermakna kerana ia bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidilfitri, malah menjadi platform berkongsi rezeki dan menyantuni penghuni sekolah tersebut.
“Pada majlis ini seramai 38 orang penghuni Sekolah Tunas Bakti diraikan dan lebih istimewa, program ini turut diisi dengan aktiviti ramah mesra bersama anak-anak di sini.
“Selain itu, warga MBMB bersama-sama penghuni sekolah ini turut mempelajari cara membuat kuih tradisional iaitu kuih bahulu dan kuih bakar manis.
“Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan serta memupuk minat terhadap kuih warisan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cahaya Kasih Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh di sini malam tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Hashim; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Halyjah Muhamad serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, program itu jelas mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat serta menceriakan golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan moral.
“Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan MBMB menyampaikan pemberian duit raya kepada para penghuni yang diraikan.
“Kedai Pakaian Hari-hari turut memberi sumbangan berupa baucer pembelian pakaian berjumlah RM1,000.00 dan dengan sedikit sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada anak-anak Sekolah Tunas Bakti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

