
ULANG TAHUN KE-23: MBMB FOKUS SANTUNI KOMUNITI DENGAN PELBAGAI AKTIVITI
KLEBANG 20 April – Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) disemarakkan dengan pelbagai pengisian termasuk program menyantuni komuniti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, sambutan itu tidak hanya tertumpu kepada acara rasmi, sebaliknya dirangka menyeluruh dengan pendekatan inklusif melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, sambutan ulang tahun ke-23 itu turut menampilkan penganjuran persidangan antarabangsa EAROPH Congress 2026 yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 April ini.
“Selain itu, pelbagai acara lain termasuk program sukan seperti larian serta aktiviti komuniti telah disusun dan akan berlangsung secara berperingkat sehingga 16 Mei depan.
“Dengan pelbagai penganjuran ini sekali gus menjadikan sambutan ulang tahun MBMB tahun 2026 lebih meriah dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Cahaya Kasih Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Hashim dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Halyjah Muhamad serta kenamaan lain.
Dalam pada itu Shadan berkata, Majlis Cahaya Kasih itu mencerminkan komitmen MBMB dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan bandaraya.
“Kita mahu mereka (penghuni) merasakan bahawa mereka sentiasa diberi perhatian dan sokongan, selari dengan peranan MBMB sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dekat dengan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


