
PERLUAS AKSES KESIHATAN LUAR BANDAR, PERKASA PENCEGAHAN PENYAKIT
SERI NEGERI 24 April – Sistem kesihatan di negeri ini perlu dipertingkat secara berterusan termasuk memperluas akses kesiahatan di kawasan luar bandar, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Pada masa sama, ujar beliau, pemerkasaan program pencegahan penyakit juga perlu diberi perhatian agar Melaka terus maju sebagai negeri yang sejahtera, sihat dan berdaya tahan.
Tun Dr. Mohd Ali bagaimanapun memuji usaha Kerajaan Negeri bersama pihak terlibat yang telah memperkukuh kemudahan kesihatan, termasuk menaik taraf fasiliti hospital dan klinik kesihatan.
“Tidak hanya itu Kerajaan Negeri turut memperkenal perkhidmatan ambulans percuma untuk golongan yang kurang berkemampuan serta pelaksanaan pelbagai program kesedaran kesihatan seperti saringan kesihatan percuma bagi pengesanan awal tiga kanser utama dan penyakit tidak berjangkit iaitu program MBIO Sihat.
“Di samping itu, saya difahamkan Kerajaan Negeri turut menyediakan Tabung Bantuan Dialisis Negeri melaka untuk memastikan rakyat yang memerlukan terus mendapat rawatan dialisis berkualiti tanpa bebanan kos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut berharap Kementerian Kesihatan dapat mempercepatkan projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka yang tendernya telah diiklankan pada 18 November 2025 dan ditutup pada 30 April ini.
Katanya, ia memandangkan Melaka amat memerlukan kemudahan hospital tersebut bagi menangani masalah kesesakan di hospital-hospital utama.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


