
PROJEK RM10.35 JUTA LERAI MASALAH BANJIR KILAT BANDARAYA MELAKA
TANJUNG BIDARA 25 April – Masalah banjir kilat yang melanda tiga kawasan di Bandaraya Melaka kini diatasi apabila siapnya projek menaik taraf sistem saliran di kawasan Bandaraya Melaka Bersejarah Fasa 2 (Pakej 2A).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek dengan nilai kontrak berjumlah RM10.351 juta itu telah siap sepenuhnya pada 19 Mac lalu dan diserahkan secara rasmi oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada Sambutan Hari Air Sedunia 2026.
Jelas beliau, projek itu sekali gus berupaya mengatasi masalah banjir kilat di tiga lokasi dalam kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) iaitu Kampung Enam dan Kampung Tujuh; Jalan Tamby Abdullah sehingga ke Jalan Parameswara dan Taman Merak Mas ke Kampung Tebing Tinggi, Bukit Katil.
“Skop projek merangkumi pembinaan rumah pam dan juga kerja-kerja lain yang berkaitan. Mewakili Kerajaan Negeri, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kepada PETRA kerana membantu menangani masalah banjir kilat di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan ‘Air Milik Semua’ yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Dataran Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha PETRA Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Ir. Azren Khalil; serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada PETRA kerana memilih Melaka sebagai lokasi penganjuran Sambutan Hari Air Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


