Sorting by

×

MELAKA HAMPIRI STATUS ASPIRING GEOPARK, KOMITMEN PACU PELANCONGAN WARISAN GEOLOGI

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 27 April – Aspiring Melaka Geopark menjadi antara pencapaian inisiatif Bajet 2026 Negeri Melaka yang telah dilaksanakan bagi memperkasa produk pelancongan baharu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu kini giat diusahakan dan sehingga kini sebanyak 14 program dan projek Aspiring Melaka Geopark telah dilulus dan akan dilaksanakan sebelum pertengahan Ogos 2026.

Menurut beliau, usaha itu secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memelihara khazanah geologi, warisan semulajadi dan memperkukuh potensi pelancongan berasas kelestarian.

“Setiap program dan projek yang dirangka ini bukan sahaja membabitkan usaha pemuliharaan tetapi juga merangkumi aspek pendidikan, penyelidikan dan pembabitan komuniti setempat secara menyeluruh.

“Penilaian peringkat kebangsaan bagi Aspiring Melaka Geopark ini dijangka dilaksanakan pada Oktober 2026.

“Ini bukan sekadar usaha pengiktirafan semata-mata tetapi merupakan langkah strategik meletakkan Melaka sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan geologi berdaya saing, mampan dan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai pencapaian Bajet 2026 Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Jelas Ketua Menteri, selain pelancongan, antara kejayaan lain inisiatif Bajet 2026 Negeri Melaka adalah menerusi pemeteraian kerjasama di antara Perbadanan Melaka (MCORP) dengan PDG Development Sdn. Bhd. bagi pembangunan Melaka Halal Hub 2.0 di Serkam.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung berupaya melonjak Melaka sebagai hab ekonomi halal berkualiti tinggi, selain membuka 1,500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Kongsi :
Previous post KUTIPAN HASIL MELAKA DI LANDASAN POSITIF SUKU PERTAMA 2026
Next post ‘MELAKA LAKSANA’, ‘MELAKA MONITOR’ PANTAU INISIATIF BAJET 2026