Sorting by

×

MELAKA CADANG WUJUD SKIM CARUMAN PERKESO KHAS NELAYAN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SERI NEGERI 27 April – Kerajaan Negeri sedang merangka untuk mewujudkan skim caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kadar minimum dan lebih mampu milik bagi manfaat golongan nelayan di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu telah dimasukkan dalam kertas perancangan dan akan dibincangkan bersama agensi berkaitan.

Menurutnya, inisiatif itu penting memandangkan sebahagian nelayan berdepan kekangan untuk mencarum menerusi skim sedia ada yang dianggap agak membebankan, walaupun sebelum ini pernah menerima subsidi kerajaan.

“Kalau kita boleh duduk bersama PERKESO, kita mahu wujudkan satu skim khas dengan kadar yang sangat minimum supaya lebih ramai nelayan dapat dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Leng Chau Yen (PH- Banda Hilir) mengenai cadangan mewujudkan mekanisme perlindungan untuk nelayan pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Dr. Muhamad Akmal berkata, nelayan dikategorikan sebagai pekerjaan berisiko tinggi kerana berdepan ancaman keselamatan setiap kali turun ke laut, selain pendapatan yang tidak menentu.

“Kadang-kadang mereka bertarung nyawa, tetapi hasil belum tentu ada. Jadi jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini, kita perlu fikir kebajikan anak-anak dan isteri yang ditinggalkan.

“Bagaimanapun cadangan ini masih pada peringkat perancangan, namun diyakini mampu memberi perlindungan sosial lebih menyeluruh kepada komuniti nelayan di negeri ini sekiranya dapat direalisasikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post ‘MELAKA LAKSANA’, ‘MELAKA MONITOR’ PANTAU INISIATIF BAJET 2026
Next post KRISIS TENAGA: MELAKA BERI DISKAUN 30 PERATUS SEWA PREMIS PBT