
KRISIS TENAGA: MELAKA BERI DISKAUN 30 PERATUS SEWA PREMIS PBT
SERI NEGERI 27 April – Kebajikan peniaga khususnya pengusaha perusahaan kecil dan sederhana yang berdepan tekanan peningkatan kos operasi menjadi antara perkara yang diberi perhatian Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri DatuK Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara langkah intervensi dilakukan Kerajaan Negeri adalah memberikan sewa secara percuma selama sebulan atau diskaun sebanyak 30 peratus kepada premis perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Jelas beliau, ia membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM2.8 juta, sekali gus memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri dalam bertindak secara proaktif, responsif dan bersasar dalam mendepani cabaran ekonomi global.
“Di samping itu, bagi terus memperkukuh daya tahan golongan penjaja dan peniaga kecil, Kerajaan Negeri turut memberikan pengurangan sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja di semua kawasan pentadbiran PBT.
“Langkah ini bukan sahaja meringankan beban kewangan mereka, malah menyokong kelangsungan perniagaan kecil yang menjadi tunjang ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) mengenai langkah intervensi Kerajaan Negeri menangani kos sara hidup yang semakin mencabar terutama ketika konflik Asia Barat yang berlaku pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Menteri, selain itu, golongan pesawah turut menerima manfaat apabila Insentif Pembajakan sebanyak RM30.00 seekar secara one-off melibatkan keluasan keseluruhan 1,500 hektar sawah diperkenalkan Kerajaan Negeri.
Jelas beliau, inisiatif itu amat bertepatan dalam membantu golongan pesawah yang terkesan akibat peningkatan kos tenaga susulan konflik di Asia Barat, sekali gus memastikan kelangsungan aktiviti penanaman padi serta menjamin keterjaminan bekalan makanan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


