Sorting by

×

PERANTI ‘GPS’ MODENKAN NELAYAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 27 April – Usaha memodenkan sektor perikanan diteruskan menerusi inisiatif membekalkan peranti teknologi sistem penentu kedudukan global (GPS) kepada nelayan Negeri Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penggunaan teknologi itu diyakini mampu membantu nelayan memperoleh hasil lebih lumayan berbanding kaedah konvensional diamalkan sebelum ini.

Menurutnya, sebagai langkah awal, Kerajaan Negeri akan membekalkan peranti ‘handle GPS’ kepada nelayan berdaftar dan berlesen seluruh Melaka menerusi peruntukan khas telah diumumkan sebelum ini.

“Insya-Allah, kita akan bekalka kepada setiap nelayan berdaftar di negeri ini menggunakan bajet RM1 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri khas untuk golongan nelayan.

“Dengan adanya sistem ini, nelayan dapat mengenal pasti lokasi ikan dengan lebih tepat, selain mengelakkan mereka memasuki kawasan larangan tanpa disedari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan nelayan kecil masih bergantung kepada kaedah tradisional seperti pemerhatian kedudukan bot lain tanpa bantuan data atau unjuran yang tepat.

“Berbeza dengan sistem ‘handle GPS’, nelayan boleh ‘mapping’ kawasan, mengetahui kedudukan bot serta merancang pergerakan dengan lebih sistematik.

“Ini penting kerana kawasan larangan di laut tidak mempunyai sempadan fizikal yang jelas, sekali gus boleh menyebabkan nelayan tersalah masuk,” katanya.

Tambah beliau, walaupun terdapat nelayan yang telah memiliki peranti ‘handle GPS’, kebiasaannya ia dimiliki oleh pengusaha berskala besar memandangkan kos peralatan tersebut boleh mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000 seunit.

“Bantuan ini bukan sekadar bersifat sekali beri, sebaliknya bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan nelayan kecil agar mereka lebih cekap dan berdaya saing.

“Apabila tangkapan lebih cekap, hasil juga meningkat dan secara tidak langsung memberi pulangan yang lebih baik kepada nelayan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

289
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM176.9 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT TAHUN INI
Next post MELAKA GANDAKAN USAHA, PASTIKAN BEKALAN AIR CUKUP