Sorting by

×

MELAKA SAYANG RAKYAT TUMPU 14 FOKUS UTAMA

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 27 April – Melaka Sayang Rakyat atau MeSRa yang menjadi payung falsafah pentadbiran Melaka memberi tumpuan kepada 14 fokus utama.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MeSRa juga menjadi nada kepada cara Kerajaan Negeri mentadbir Melaka, di mana setiap dasar, keputusan dan pembangunan mesti kembali kepada kesejahteraan rakyat.

Jelas beliau, fokus pertama adalah MeSRA Pelaburan dan Perindustrian yang membuktikan bahawa keyakinan pelabur terhadap Melaka semakin kukuh, diyakini dan dihormati menerusi pelbagai inisiatif dan dasar yang dibawa.

Fokus kedua, jelas beliau adalah MeSRa Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan dengan mengambil tiga langkah proaktif dalam melindungi rakyat daripada kesan langsung tekanan global yang berlaku kini.

Selain itu, beliau berkata, ketiga, fokus MeSRa Kebajikan, di mana sebanyak RM176.9 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri sehingga hujung tahun ini bagi memastikan mereka yang memerlukan mendapat bantuan.

“Fokus keempat, MeSRa Pendidikan dan Pembangunan TVET menerusi pelbagai inisiatif berterusan yang memberi manfaat kepada anak Melaka.

“Seterusnya MeSRa Kesihatan yang menyaksikan Kerajaan Negeri telah menggerakkan satu anjakan signifikan dalam memperkukuh sektor kesihatan berorientasikan rakyat.

“Keenam, fokus MeSRa Kemudahan Awam yang merupakan nadi kepada kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat ditangani secara proaktif dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri memaklumkan, fokus ketujuh adalah MeSRa Infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat menerusi pembangunan bermanfaat, termasuk projek mengatasi masalah banjir.

Seterusnya, ujar beliau, MeSRa Perumahan yang menjadi antara keutamaan utama Melaka bagi memastikan rakyat mendiami kediaman lebih selesa pada harga mampu milik.

MeSRa Digital pula ujar beliau diperkasakan dengan beberapa inisiatif antaranya Kampung Digital, Kubur Digital dan QR Tagging Pelesenan Haiwan Ternakan.

“Di bawah fokus kesepuluh iaitu MeSRa Peniaga dan Usahawan, Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pelbagai inisiatif strategik di semua peringkat.

“Manakala, fokus kesebelas, MeSRa Wanita merupakan agenda memperkasa dan memartabat wanita bagi memastikan srikandi Melaka terus diangkat sebagai peneraju pembangunan negeri.

“Di bawah MeSRa Belia dan Sukan, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkasa belia dan sukan di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, fokus ketiga belas adalah Syiar Islam, di mana dalam konteks pembangunan negeri yang seimbang dan menyeluruh, hal ehwal Islam di negeri ini terus menjadi keutamaan dalam memastikan setiap agenda yang dilaksanakan kekal berpaksikan nilai dan kesejahteraan ummah.

Fokus terakhir, ujar Ketua Menteri adalah MeSRa Pelancongan dan Warisan yang merupakan nadi utama ekonomi negeri di mana, sektor berkenaan telah diperkasakan dengan pelbagai inisiatif hingga menyaksikan Melaka kekal menjadi antara destinasi utama pilihan pelancong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

352
Kongsi :
Previous post MELAKA NEGERI MASA DEPAN YANG SEDANG DIBINA – KM
Next post EMPAT USAHA MELAKA PERKUKUH PENGELUARAN MAKANAN SENDIRI