Sorting by

×

DUN MELAKA LULUS USUL KUMPULAN WANG AMANAH CAJ WARISAN

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 28 April – Dewan Undangan Negeri Melaka, hari ini, meluluskan usul penubuhan Kumpulan Wang Amanah Caj Warisan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penubuhan itu merupakan satu langkah strategik dalam memastikan kelestarian dan pemuliharaan warisan negeri terus terpelihara secara mampan dan berstruktur.

Jelas beliau, kumpulan wang itu bertujuan untuk menerima dan membelanjakan Caj Warisan yang dikenakan kepada pengunjung luar yang menginap di hotel-hotel berdaftar di Negeri Melaka.

Menurut Ab Rauf, kutipan itu dilaksanakan melalui pihak hotel dan seterusnya disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan Negeri sebagai ejen kutipan.

“Tarikh 7 Julai 2008 merupakan detik bersejarah apabila Melaka, bersama George Town, Pulau Pinang, telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu kebanggaan, tetapi satu amanah besar yang menuntut komitmen berterusan daripada Kerajaan Negeri untuk memelihara, memulihara dan memartabatkan warisan ini untuk generasi akan datang.

“Sehubungan dengan itu, pelaksanaan Caj Warisan adalah antara inisiatif penting Kerajaan Negeri dalam menjana sumber kewangan khusus bagi tujuan tersebut,” kata Ketua Menteri ketika berucap membentangkan usul tersebut.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pada masa ini pengurusan dana caj warisan dilaksanakan melalui Akaun Amanah di bawah Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957, namun berdasarkan penjelasan rasmi daripada Kementerian Kewangan Malaysia serta garis panduan Pekeliling Perbendaharaan, terdapat perbezaan ketara antara Akaun Amanah di bawah Seksyen 9, dan Kumpulan Wang Amanah di bawah Seksyen 10.

Jelas beliau, Seksyen 9 memperuntukkan akaun amanah bagi dana daripada pihak ketiga, manakala Seksyen 10 pula lebih komprehensif kerana merangkumi peruntukan daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri, serta sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk agensi, badan tempatan dan antarabangsa.

“Memandangkan Caj Warisan ini melibatkan aliran dana melalui Pihak Berkuasa Tempatan yang merupakan sebahagian daripada ekosistem Kerajaan Negeri, maka adalah lebih tepat dan wajar dari sudut tadbir urus kewangan agar ia diletakkan di bawah Seksyen 10.

“Usul ini adalah satu penambahbaikan struktur kewangan yang akan memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti, meluaskan sumber pembiayaan serta memberi fleksibiliti kepada Kerajaan Negeri untuk mengoptimumkan dana bagi tujuan pemuliharaan warisan dan pembangunan pelancongan.

“Dengan struktur baharu ini, Kumpulan Wang Amanah Caj Warisan akan mampu menerima sumbangan bukan sahaja daripada pihak luar, tetapi juga daripada agensi, GLC dan entiti berkaitan Kerajaan Negeri sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk memperkasa sektor pelancongan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Caj Warisan itu bukan sekadar kutipan hasil, tetapi ia adalah pelaburan masa depan, jaminan kelestarian sejarah dan komitmen untuk mempertahankan identiti Melaka sebagai warisan dunia.

Justeru, kata beliau, pengurusan dana itu mestilah diletakkan di bawah kerangka perundangan yang paling tepat, kukuh dan strategik.

Terdahulu, usul itu dibahaskan oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam).

Pada sesi undian, usul itu menerima sokongan majoriti dengan 24 undi bersetuju, manakala dua berkecuali dan dua tidak hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

328
Kongsi :
Previous post MAIM KAWAL SELIA 246.585 HEKTAR TANAH PERKUBURAN
Next post PEKAN ASAHAN BAKAL MILIKI STESEN MINYAK, PONDOK ATM