Sorting by

×

MELAKA SEDIA KAWASAN PERKUBURAN TAMBAHAN, TAMPUNG KEPERLUAN MASA HADAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 28 April – Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan merancang untuk menyediakan tanah perkuburan tambahan seluas kira-kira 62.6 hektar bagi menjamin kecekapan pengurusan tanah perkuburan dan memenuhi keperluan pada masa depan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, tambahan itu dibuat menerusi Rancangan Tempatan yang telah diwartakan disetiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Melaka.

“Langkah ini bagi memastikan setiap kawasan pembangunan disediakan kemudahan perkuburan yang mencukupi selaras dengan prinsip perancangan bandar yang mampan dan inklusif.

“Selain itu penyediaan kawasan baharu turut mengambil kira pertimbangan saiz tapak, kapasiti tampungan dan penggunaan tanah secara optimum bagi memastikan keberkesanan serta kelestarian jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengenai langkah Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan tanah perkuburan yang semakin tidak mencukupi di Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Rais, Kerajaan Negeri kekal proaktif dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh meningkatkan permintaan terhadap penyediaan tanah perkuburan.

“Dengan mengambil kira kapasiti tanah perkuburan sedia ada serta cadangan tapak baharu dianggarkan bahawa keperluan tanah perkuburan di Melaka adalah mencukupi sehingga sekitar 2035.

“Namun perkara ini tertakluk kepada beberapa faktor penting termasuk kadar kematian semasa, pertumbuhan penduduk serta keberkesanan pengurusan serta penggunaan tanah perkuburan secara efisien,” katanya.

Jelas beliau, semakan semula secara menyeluruh terhadap keperluan tanah perkuburan akan dijalankan semasa penyediaan Rancangan Struktur Negeri Melaka 2040 (RSN 2040).

“Kajian akan mengambil kira pertumbuhan penduduk, perubahan demografi dan pembangunan semasa bagi memastikan perancangan lebih tersusun, responsif serta mampan selaras dengan keperluan semasa serta unjuran masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

341
Kongsi :
Previous post PEKAN ASAHAN BAKAL MILIKI STESEN MINYAK, PONDOK ATM
Next post KAJIAN SEMULA SKIM TIDAK PRODUKTIF DIJALANKAN SETIAP TAHUN