
KAJIAN SEMULA SKIM TIDAK PRODUKTIF DIJALANKAN SETIAP TAHUN
SERI NEGERI 28 April – Kajian secara tahunan dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka bagi menilai, memantau dan mengenal pasti skim yang tidak produktif.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, langkah itu merupakan pendekatan yang komprehensif, fleksibel serta berteraskan kebajikan rakyat.
Katanya, pendekatan itu merangkumi pelaporan kendiri tanpa kehadiran fizikal yang mana JKM telah mempermudahkan proses kaji semula dengan membenarkan klien atau waris menyalurkan maklumat status semasa tanpa perlu hadir ke pejabat.
“Pelaporan boleh dibuat menerusi imbasan kod QR; medium komunikasi seperti panggilan telefon, SMS, Whatsapp, emel dan Telegram yang mana langkah ini diambil bagi memastikan prosedur dilaksanakan tidak membebankan khususnya golongan uzur dan terlantar.
“Kerajaan turut mengiktiraf peranan pemimpin tempatan sebagai rakan strategik dalam menyalurkan maklumat berkaitan status klien. Pengupayaan ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan sukarelawan Program Khidmat Bantuan Di Rumah (KBDR) turut diperkukuh bagi memastikan pemantauan dilaksanakan secara berterusan di peringkat komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Tuminah Kadi@Hashim (BN-Pantai Kundor) mengenai proses kaji semula kes-kes skim tidak produktif bagi memastikan kebajikan golongan sasar terpelihara pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata JKM negeri turut mengukuhkan proses kaji semula menerusi inisiatif Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di peringkat akar umbi.
Tambahnya, peranan itu merangkumi wakil rakyat mengenal pasti kes di lapangan dan mengesahkan status semasa klien secara terus dan proses dapat dipercepatkan serta bantuan sampai lebih tepat dan berkesan.
“Bagi kes-kes yang memerlukan perhatian khusus, pekerja JKM negeri akan melaksanakn pemantauan secara proaktif dengan lawatan ke rumah atau sesi libat urus seperti program Ziarah Kasih, Hari Bertemu Pelanggan dan Program Turun Padang.
“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa proses kaji semula ini bukan sekadar memenuhi keperluan pentadbiran namun ia merupakan mekanisme penting bagi memastikan golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terus terbela,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


