
KUTIPAN MASJID TIDAK TETAP, BERGANTUNG DERMA DAN TABUNG JUMAAT
SERI NEGERI 29 April – Sumber pendapatan kebanyakan masjid di negeri ini masih bergantung kepada sumbangan orang ramai yang bersifat tidak menentu, khususnya melalui kutipan tabung Jumaat, wakaf dan hasil sewaan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kadar sumbangan yang diterima adalah tidak tetap selain berbeza mengikut lokasi masjid.
Menurutnya, bagi masjid di bandar, kutipan tabung Jumaat lazimnya mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000 setiap minggu dengan jumlah bulanan sekitar RM12,000 hingga RM20,000.
“Bagaimanapun, bagi sebahagian masjid lain, kutipan Jumaat hanya sekitar RM1,000 hingga RM5,000 seminggu bergantung kepada kehadiran jemaah dan faktor setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai purata simpanan bank setiap masjid di Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Rahmad berkata, keseluruhan kutipan itu digunakan bagi menampung pelbagai keperluan operasi masjid termasuk bayaran utiliti, kerja-kerja penyelenggaraan kecil, elaun pegawai syarak, pengurusan pentadbiran, penganjuran majlis, kelas pengajian serta bantuan kepada golongan fakir dan miskin.
“Berdasarkan pemerhatian Bahagian Pusat Masjid terhadap laporan kewangan, kebanyakan masjid di kawasan pinggir bandar mencatatkan jumlah kutipan kurang daripada RM50,000 setahun.
“Manakala masjid di kawasan bandar pula mempunyai jumlah kutipan antara RM50,000 hingga RM200,000 setahun.
“Hanya segelintir masjid mampu mencecah kutipan sehingga RM1 juta setahun, kebiasaannya hasil daripada dana wakaf berskala besar seperti pembelian karpet dan kemudahan lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


