
‘INI PENTAS DEMOKRASI, NEGERI INI BUKAN KITA PUNYA’
SERI NEGERI 29 April – Sesiapa sahaja boleh bercakap mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) sama ada membabitkan kerusi yang mahu ditandingi atau calon yang mahu diketengahkan.
Itu pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.
Beliau berkata, tiada siapa boleh dilarang untuk bercakap soal PRN yang bakal tiba bila-bila masa kerana ini merupakan pentas demokrasi.
“Negeri ini bukan kita punya. Saya tak boleh larang kerana pentas ini adalah pentas terbuka.
“Saya percaya sesiapa sahaja yang bercakap, mereka mesti tahu kekuatan (parti) dan keperluan mereka,” katanya pada sidang media hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Dalam pada itu, Ab Rauf memberi bayangan UMNO akan kekal bertanding di kerusi yang dimenangi, selain tidak menolak kemungkinan akan menampilkan muka-muka baharu pada PRN kali ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


