Sorting by

×

VETERINAR ZOO MELAKA, ADIWIRA DI SEBALIK SANGKAR

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 30 April – Di sebalik sangkar taman haiwan ini, berdirinya sekumpulan adiwira yang memainkan peranan besar memastikan setiap penghuni di situ berada dalam keadaan sihat, selamat dan bebas tekanan.

Merekalah doktor veterinar Zoo Melaka yang setia berkhidmat tanpa mengira masa demi memastikan kebajikan hidupan liar ini sentiasa terpelihara.

Pengurus Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, walaupun tampak tidak popular, namun peranan dimainkan veterinar di zoo cukup besar di mana selain menjaga kebajikan dan kesihatan haiwan, mereka ini juga turut terlibat dalam program pembiakan spesies terancam dalam usaha menyokong inisiatif pemuliharaan.

Menurutnya, antara tugas utama mereka adalah melakukan pemeriksaan kesihatan dan mengamalkan kesihatan pencegahan, selain turut menjalankan rawatan terhadap haiwan berdasarkan tanda-tanda klinikal dan keputusan ujian diagnostik.

Pada masa sama, ujarnya, Unit Veterinar turut memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan haiwan bagi menyokong program pembiakan spesies, di mana pemantauan dilakukan terhadap kitaran reproduktif, kehamilan dan penjagaan anak untuk meningkatkan kadar kelahiran serta kelangsungan hidup.

“Usaha ini secara langsung menyumbang kepada konservasi spesies terancam dan pemeliharaan biodiversiti secara berterusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelasnya berbeza dengan klinik haiwan, veterinar di zoo mempunyai cabaran tersendiri kerana perlu menghadapi pelbagai spesies domestik mahupun liar yang mempunyai tingkah laku, keperluan biologi dan fisiologi yang unik antara satu sama lain.

“Veterinar di zoo turut memainkan peranan dalam pemantauan kesihatan kumpulan, kawalan penyakit berjangkit serta pemeliharaan kebajikan dan pemuliharaan spesies di bawah jagaan mereka,” ujarnya.

Tambah Dr. Zahidah Izzati, sama seperti manusia, haiwan di zoo tersebut juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, di mana ia merangkumi aspek penilaian status nutrisi melalui pemerhatian semasa, pemeriksaan fizikal, persampelan darah serta saringan parasit dan penyakit tertentu.

“Bagi memastikan haiwan liar di zoo tidak mengalami stres dalam rawatan, kami mengutamakan keselesaan dan kesejahteraan haiwan semasa pengendalian dengan pendekatan yang disesuaikan mengikut spesies, selain turut menjalankan pembiusan apabila diwajarkan,” katanya.

Sementara itu, Veterinar Zoo Melaka, Dr. Michelle Wong berkongsi kisahnya memilih kerjaya itu kerana mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang terlibat dengan gabungan kerja klinikal dan usaha pemuliharaan hidupan liar.

“Selain itu, persekitaran zoo menawarkan peluang untuk mempelajari pelbagai spesies, dan cabaran ini terus mendorong saya untuk berkembang dalam bidang ini,” ujarnya.

Dr. Michelle turut menyarankan generasi muda yang berminat menjadi veterinar zoo agar mendapatkan pendedahan awal seperti menyertai program sukarelawan di zoo dan pusat pemuliharaan hidupan liar demi menimba pengalaman di samping terus menyemarakkan minat dalam bidang itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post TAMAN REKREASI MADANI RUANG RIADAH MESRA KOMUNITI
Next post WRUR: PASTIKAN ADUAN RAKYAT DIPANTAU, DISELESAI SECARA MENYELURUH